Assalamualaikum wbh

Al Waqi'ah ayat 63
Maka Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

Kurma dalam al Quran

A'udzubillahi minas syaitonir rojim,
 Al Waqi'ah ayat 63, "Maka Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?
 Al Waqi'ah ayat 64, "Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?"

Dalam surah al Waqi'ah Allah menyuruh kita untuk melihat apa yang kita tanam. Amatlah malang jika ada muslim yang tidak pernah menanam pokok. Pertanian adalah satu pekerjaan yang paling lama samada sebagai sumber makanan ataupun perniagaan. Malah lebih penting di dalam Quran menanam pokok adalah satu cara mengenali Allah, maka ia satu pekerjaan yang mulia. Menanam adalah pelajaran Tauhid dari Allah.

Lebih dari itu Allah swt menyuruh kita menganalisis apa yang kita tanam.
Ar Ra'du ayat 4
..semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
Jambu madu bukan kurma

Sebagai contoh pengalaman dari pemerhatian saya terhadap pokok jambu madu. Kenapa dari satu pokok induk, bila dilakukan percambahan melalui cara tut, bila ditanam semula, anak2 pokok tut ini mempunyai ciri buah yang berbeza2 walaupun ia dari ibu pokok yang sama, ditanam di kawasan yang sama. Ada buahnya kecil, ada buahnya besar. Ada pokok isinya keras. dari tut bukan biji, dari biji pun kita tidak mengetahui jantan betina pokok dan apakah buahnya akan sama seperti buah dari pokok ibu. Ini semua adalah kuasa Allah.
Al-An’am ayat 99
 Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.
Dalam surah al An'am ayat 99 diatas, Allah menyuruh kita perhati kepada buah dan ketika masak. Satu pelajaran yang saya ingin kongsi ialah apabila kita menyalut buah. Bila kita salut buah dari mula ia membentuk sebagai buah maka buahnya akan cantik, dari hijau semata  jambu kepada warna merah menyala. Bila kita menyalut terlalu awal, baru ada bentuk buah tetapi masih ada bekas2 bunga. Buahnya akan mati. Kalau lambat salut sedikit sahaja, buah akan busuk kerana ada penyengat. Cantik diluar busuk di dalam, Jadi apa yang boleh kita pikir tentang kejadian Allah ini? Bagi saya, melihat kepada buah yang disalut, umpama anak. Bila anak kita disaluti baju agama, hasilnya nanti insha Allah sangat baik dan memberi manfaat.

Menanam boleh menimbulkan rasa iman dan gembira. Tetapi menanam juga dari zahirnya boleh menghasilkan makanan dan pendapatan.
 Al Mukminun ayat 19
 ..dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
Jadi lebih dari itu kita kena mengkaji, kita sepatutnya jadi umat yang mengkaji seperti di zaman kemajuan sains Islam. Ilmuan Islam dulu dekat dengan Quran dan mereka maju kerana melaksanakan suruhan Allah swt. Ilmu perubatan mereka mempelopori kerana Allah menyuruh melihat diri kita. Ilmu astronomi mereka pelopori kerana Allah menyuruh melihat kejadian bintang di langit.

Kurma di dalam Quran
Berbalik kepada pokok kurma. Allah swt telah berfirman didalam beberapa tempat melambangkan ciri ciri buah kurma, mayang kurma dan pokok kurma.

Pohon Kurma yang berumpun/bercabang. 
Ar Ra'du ayat 4 
"..dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun;"
Pohon kurma yang tinggi mengeluarkan mayang yang berlapis lapis dan lebat putiknya.
 Qaf ayat 10
Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya;
Mayang yang halus ialah pokok jantan. 

Asy-Syu’araa’ayat 148
“Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?
Dan biji kurma diselaputi oleh sejenis selaput yang sangat nipis.
  Fatir ayat 13
..sedang mereka yang kamu sembah – yang lain dari Allah – tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma.
Dan buah kurma tidak masak semuanya serentak dalam satu tandan. 
Maryam ayat 25
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

Malah lebih banyak dari itu pokok kurma disebut dalam banyak tempat di dalam al Quran.Saya senaraikan hanya dua ayat.
Yasin  ayat 34 dan ayat 35
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
Al Mukminun ayat 19
Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.
Lebih dari itu semasa musim menuai ada hak bagi buah tersebut yang perlu kita lunaskan.
Surah al An'am ayat 141
Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.
Akhir sekali buah kurma juga walaupun penuh kebaikan tetapi boleh juga disalah guna dengan menjadikannya arak. Minuman yang haram.  
An Nahlu ayat 67
Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.

Banyak perkara dalam hidup kita ini ada benda yang baik tetapi bila disalah guna boleh menjadi tak baik. Contohnya pisau, pen, tv, internet, komputer dan macam macam lagi. Allah telah mengadakan dua jalan bagi banyak perkara. Ini disebut dalam firman Allah swt dalam al Quran :-

Surah al Balad ayat 10
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?
 Pokok kurma juga dijadikan perumpamaan sebagai contoh pengajaran dari Allah di dalam al Quran
Al-Haqqa ayat 7
Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.

Qamar ayat 20
Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang terbongkar.
Fatir ayat 13
Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah – yang lain dari Allah – tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma.
Jelaslah kini bagi kita Pohon kurma adalah sebuah pohon yang mulia yang disebut berkali kali di dalam Quran, tiada satu pohon pun lebih banyak disebut dalam Quran dari pohon kurma. Sebuah pohon yang pasti ada di syurga yang disebut dalam hadis-hadis Nabi saw, sebuah pohon yang dijadikan semasa awal bumi dihiasi tumbuh tumbuhan ('Abasa ayat 25 - ayat32). Usia keturunannya beribu tahun malah akan kekal bersama kita di syurga.
Surah Ar Rahman ayat 66 hinga 69
Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Wajarlah kita menyayangi pohon kurma dan menyukai buah kurma. Bukalah puasa dengan buah kurma jangan bila buka puasa cari air dulu. Juga carilah kurma di bulan-bulan bukan Ramadhan. Di kesempatan lain saya akan menyenaraikan hadis Nabi saw termasuklah cara bagaimana kita boleh ada kebun kurma di syurga nanti. Insha Allah.

Disini saya link-kan pencinta kurma (moga diberkati Allah) yang saya jumpa di blogspot ini :http://irosli63.blogspot.com/2010/03/ladang-kurma-di-madinah-part-6.html

Penulis Tazkirah: Abu Zaim Bukhary
Terjemahan al Quran oleh Syeikh Abdullah Basmeih

No comments:

Post a Comment